Sejak penubuhan pada 1 Jun lalu, hanya 71 permohonan pendaftaran hak cipta diterima oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melalui Sistem Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta.
Jumlah itu masih lagi jauh daripada sasaran awal yang ditetapkan oleh MyIPO iaitu sebanyak 500 pendaftaran hak cipta diterima agensi itu menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Bahagian Hak Cipta MyIPO, Mohamed Fairuz Mohd Pilus berkata, Sistem Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta ditubuhkan oleh kerajaan atas permintaan penggiat seni dan para karyawan tanah air itu sendiri.
Katanya, kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membangunkan sistem tersebut dan sekiranya tidak dimanfaatkan, ia menjadi satu kerugian yang amat besar kepada golongan tersebut.
"Para karyawan seni tempatan perlu menggunakan kesempatan ini. Mungkin pendaftaran ini tidak penting buat masa sekarang, namun akan datang mereka tidak tahu apa yang akan berlaku.
"Pendaftaran yang dibuat akan membantu pemilik karya membuktikan hak milik mereka dalam apa-apa pertikaian undang-undang selagi mana karya tersebut mematuhi peruntukan Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012," katanya kepada Kosmo!
Sistem Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 pada 25 Jun lalu.
Sistem itu merupakan satu langkah pembaharuan dan penambahbaikan bagi membantu industri hak cipta negara, khususnya para karyawan tanah air dalam menangani isu berkaitan perlindungan hak cipta.
Antara karya yang layak mendapat perlindungan hak cipta di bawah pindaan akta tersebut ialah karya sastera, karya muzik, karya seni, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan. - Kosmo!
No comments:
Post a Comment